Tuesday, May 6, 2008

Ruang pameran, rumah bersatu




MENJADIKAN rumah sebagai ruang pameran perniagaan memberi banyak manfaat kepada peniaga perabot. Ini kerana, pengunjung ke rumah pameran tersebut akan mendapat inspirasi sebenar untuk menata ruang kediaman mereka.
Untung buat peniaga pula, tidak perlu menyewa premis kedai dan jika perabot yang dipamerkan dirasakan sesuai, pengunjung pasti akan berkehendakkan perabot yang sama untuk ditempatkan di ruang tertentu kediaman mereka.
Sebab itu juga, Azriff Abu Noh dan Norshina Mohamed Som, yakin percaturan untuk menjadikan sebuah rumah berkembar yang terletak di Damansara Utama sebagai lokasi perniagaan perabot mereka merupakan satu strategi perniagaan yang baik.
Pasangan suami isteri ini bukanlah baru dalam bidang ini, malah pembukaan rumah pameran ini merupakan cawangan ketiga mereka selepas di Subang 2 dan Subang Perdana.
Istimewanya, di rumah pameran Tiga Concept ini, mereka menempatkan perabot yang sangat indah dengan perhiasan rumah yang sungguh mententeramkan.
“Kami mengumpul perabot eksklusif yang dikeluarkan dari kebanyakan negara di Asia terutama Indonesia, Thailand, Burma dan Filipina.
“Konsep kami juga lain daripada kebiasaan, di mana kami mengutamakan konsep moden kontemporari mengikut perkembangan terkini tetapi masih mengekalkan tradisi demi memenuhi cita rasa penghuni rumah,” jelas Azriff ketika ditemui di rumah pamerannya, baru-baru ini.
Menurut Azriff, perabot yang dipamerkan di rumah pamerannya bukan sahaja berkualiti, malah pelbagai dan harganya jauh lebih murah berbanding perabot sama yang dijual di kawasan elit seperti di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.
Memasuki rumah berkembar dua tingkat ini, pengunjung akan melalui sebuah kolam ikan di sudut bersebelahan tempat letak kereta.
Ia dihias dengan gabungan konsep Bali dan tradisional Melayu. Melihat ikan yang berenang di dalam kolam tersebut sambil melabuhkan punggung di set perabot rotan yang diletakkan di anjung rumah, terbit satu perasaan tenang dan damai.
Bukan satu, malah beberapa set perabot taman di pamerkan di ruang pameran Tiga Concept, kesemua berlainan bentuk dan menarik perhatian.
“Tiga Concept diasaskan pada Oktober 2004, pada mulanya niat kami untuk menampilkan konsep perabot gabungan sentuhan moden dan Bali kontemporari. Namun, setelah berkunjung ke beberapa negara Asia, kami dapati perabot dari negara-negara tersebut sememangnya mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri.
“Nama Tiga Concept ini dipilih kerana kami membawa masuk perabot dari tiga negara setiap tiga bulan. Jadi, pengunjung yang datang ke rumah pameran kami ini akan sentiasa ‘dihidangkan’ dengan ‘jamuan’ mata berbeza setiap kali mereka datang ke sini selepas tempoh tiga bulan,” jelas Azriff.
Ruang tamu rumah pameran ini pula menempatkan set sofa fabrik dan rotan yang sungguh mencuri tumpuan.
Ini ditambah dengan hiasan rumah seperti arca yang unik dan lukisan seni hasil tangan Azriff sendiri dan para pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), amat padan dengan suasana rumah tersebut.
Malah, pengunjung juga pasti terpegun melihat set kerusi dan meja makan yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Menjengah ke tingkat atas pula, menempatkan set sofa yang diperbuat daripada kulit batang pisang atau abaca. Sebuah cermin besar menutupi hampir keseluruhan dinding, di mana bingkainya diperbuat daripada kulit paku pakis, memang menarik dan lain daripada yang lain.
Dengan pengalaman menjadi perunding hiasan dalaman selama lebih 10 tahun, Azriff dan Norshina mendapat kepercayaan daripada Perbadanan Usahawan Negara Berhad (PUNB) untuk menambah modal bagi memastikan perniagaan mereka terus maju.
Bekas pekerja Petronas ini amat mencintai bidang hiasan dalaman, sehinggakan konsep perniagaannya ialah untuk membantu orang ramai yang berminat mengubah hiasan dalaman rumah mereka mengikut bajet yang mereka ada.
“Untung bagi mereka yang mendapatkan perabot di sini ialah setiap rekaan hanya ada satu set sahaja, jika sudah dibeli, maka orang lain tidak berpeluang untuk memiliki perabot yang sama,” ujarnya yang bertanggung jawab menata hiasan dalaman spa Villamay yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam, Plaza Damas dan beberapa buah rumah contoh dan pejabat korporat yang terletak di sekitar Lembah Klang.
Bagi pembaca yang berminat melihat sendiri perabot serta dekorasi di Tiga Concept, bolehlah kunjungi rumah pameran yang terletak di 68 Jalan SS21/1, Damansara Utama, 47400 Petaling Jaya, Selangor atau hubungi 012 - 313 1545 untuk maklumat lanjut.

No comments: